Friday 24 May 2013

BUAHAN-BUAHAN TEMPATAN

Hai...adik-adik ,apa khabar semua?Cikgu harap kamu semua sihat.Cikgu nak tanya siapa suka makan buah-buahan?Buah-buahan tempatan ada berbagai-bagai jenis,ada berbagai warna,ada berbagai rasa seperti rasa masam,manis,masam-masam manis dan lain-lain lagi.Hari ini cikgu akan ajar tentang buahan-buahan tempatan seperti durian,rambutan,manggis,betik dan pisang.Mari kita lihat bersama-sama.

BUAH BUAHAN TEMPATAN





Hai...adik-adik ,apa khabar semua?Cikgu harap kamu semua sihat.Cikgu nak tanya siapa suka makan buah-buahan?Buah-buahan tempatan ada berbagai-bagai jenis,ada berbagai warna,ada berbagai rasa seperti rasa masam,manis,masam-masam manis dan lain-lain lagi.Hari ini cikgu akan ajar tentang buahan-buahan tempatan seperti durian,rambutan,manggis,betik dan pisang.Mari kita lihat bersama-sama.




















Wednesday 22 May 2013

BUAH BUAHAN TEMPATAN


Falsafah Pendidikan Awal Kanak-kanak


1.0  Pengenalan

Menurut International Dictionary of Education, pendidikan merupakan suatu proses yang membentuk kemampuan dan sikap manusia melalui suatu proses sosial dalam mana seseorang individu tersebut memperoleh keyakinan dan pertumbuhan individu yang dijalankan melalui suatu keadaan yang dipilih dan dikawal serta diinstitusikan seperti sekolah ataupun kolej. (Sivachandralingam Sundara Raja, 2001).

The New Encyclopaedia Brittanica pula mendefinisikan pendidikan sebagai suatu displin yang berurusan dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan didalam sekolah dan juga persekitarannya. Kedua-dua rujukan ini menyatakan bahawa sekolah merupakan sebuah institusi yang penting dalam usaha memberikan pendidikan kepada manusia dan dilakukan dalam keadaan secara terancang dan sistematik. (Sivachandralingam Sundara Raja, 2001).

Di Malaysia, suatu halatuju serta pedoman perlu difikirkan bagi mewujudkan pendidikan yang terancang serta sistematik ini. Dengan adanya Falsafah Pendidikan Kebangsaan, maka ia menjadi sebuah sistem yang bersepadu kepada setiap institusi sekolah mahupun kolej dalam melaksanakan pendidikannya. Aspek seperti intelek, rohani, jasmani, emosi dan lain-lain ditekankan didalam FPK agar menjadi pedoman kepada para pendidik dalam melaksanakan tugas pengajaran dan pembelajaran.

Akhirnya, matlamat pendidikan untuk membentuk rakyat yang berpengetahuan serta berguna kepada diri, bangsa dan agama telah menjadi lebih jelas setelah wujudnya FPK. Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang diamalkan oleh setiap institusi sekolah di Malaysia bukan sahaja memudahkan usaha mendidik malah telah menjadi suluh serta halatuju kepada usaha mengembang dan memajukan pendidikan negara.

2.0  Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK)

Falsafah boleh difahamkan sebagai suatu pemikiran yang melihat suatu permasalahan daripada pelbagai perspektif. Ia dilakukan dalam keadaan yang sistematik, penuh keinginan serta kritis bagi mendapatkan suatu pandangan atau teori murni yang tidak bias kepada mana-mana pemikiran dalam mencari kebenaran. Oleh kerana itulah falsafah juga dikenali bertujuan untuk mencari kebenaran sekaligus memberi arah tuju kepada perkara yang penting dalam kehidupan.

Berdasarkan huraian ini, maka falsafah pendidikan dapat didefinisikan sebagai suatu pemikiran yang sistematik, kritis, penuh usaha untuk mencari kebenaran dalam menetapkan halatuju yang berkaitan dengan pendidikan. Kebiasaannya, falsafah pendidikan sesebuah negara diwujudkan berdasarkan idealogi yang dipegang oleh sesebuah negara tersebut. Sebagai contoh, bagi negara German pada zaman pemerintahan Hitler, falsafah pendidikannya berbeza dengan falsafah pendidikan German pada zaman kini. Begitu juga dengan negara Malaysia, ia tidak terlepas daripada falsafah atau idealogi yang dipegang oleh negara kita pada saat ini. Maka, pendapat bahawa sekolah merupakan sebuah kemungkinan untuk agen doktrinasi masyarakat adalah tidak dapat disangkal lagi.

Oleh yang demikian, falsafah pendidikan kebangsaan boleh dirumuskan sebagai sebuah falsafah yang digubal daripada usaha berfikir yang rasional dan kritis, berlandaskan idealogi negara sebagaimana yang dimanifestikan didalam Laporan dan Dasar Pendidikan termasuk rukun negara. Hasil falsafah pendidikan kebangsaan ini digunakan sebagai suluh yang memberi pedoman kepada segala usaha pendidikan yang dijalankan di dalam negara bagi memenuhi keperluan individu, masyarakat dan negara.

2.1 Sejarah Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Sebagaimana yang telah dijelaskan diatas, setiap sesebuah negara mempunyai falsafah pendidikan yang berbeza antara satu dengan yang lain. Ini disebabkan oleh perbezaaan faktor seperti falsafah negara, cita-cita pemerintah, berlainan bentuk pemerintahan dan corak kebudayaan. Di samping perbezaan ini juga, falsafah pendidikan juga tidaklah kaku atau tetap selamanya. Sebaliknya ia akan sering berubah dari suatu masa ke suatu masa mengikut hal perubahan faktor seperti yang dinyatakan di atas.

Falsafah pendidikan di negara Malaysia secara rasminya digubal hasil daripada sistem pendidikan di Malaysia yang telah mengalami banyak perubahan sejak merdeka. Antaranya setelah diperkenalkan dengan rancangan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan juga Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Rancangan KBSR yang menekankan penguasaan kemahiran asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira berserta penekanan terhadap aspek intelek, jasmani, emosi dan rohani bertujuan bagi mengembangkan individu secara holistik. Begitu juga dengan rancangan KBSM yang menitikberatkan agar sistem pendidikan di Malaysia juga menjadi lebih bersepadu. Dengan adanya perubahan melalui penerapan rancangan KBSR dan KBSM ini maka Falsafah Pendidikan Kebangsaan diwujudkan dengan harapan agar sekolah di Malaysia dapat melahirkan pelajar yang berilmu, berakhlak mulia, berupaya memberi sumbangan kepada kemajuan , dan kesejahteraan terhadap pembangunan negara.

Mengikut sejarah, sebelum Falsafah Pendidikan Kebangsaan diperkenalkan, pendidikan di Malaysia telah berusaha untuk menghapuskan cita negara daripada dasar penjajah British yang bertujuan untuk menjaga kepentingan mereka di Tanah Melayu. Hasil daripada pemikiran yang terkandung dalam Laporan Razak 1956 berserta Laporan Rahman Talib 1960, kedua-dua laporan ini menitikberatkan pendidikan bagi perpaduan negara dalam usaha mencipta sebuah negara yang merdeka. Kedua-dua laporan ini juga jika dikaji secara teliti menunjukkan bahawa usaha untuk mewujudkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah lama semenjak pasca kemerdekaan.

2.2 Peranan Falsafah Pendidikan Negara

Berlandaskan Falsafah Pendidikan Negara ini maka negara sudah mempunyai petunjuk bagi menentukan arah sekaligus menentukan halatuju pendidikan di Malaysia. Falsafah Pendidikan Negara ini bukan sahaja penting bagi mencapai matlamat untuk melahirkan rakyat yang berilmu pengetahuan malahan ia turut memainkan beberapa lagi peranan penting dalam usaha untuk memperkembangkan lagi mutu pendidikan di negara Malaysia. Berikut adalah beberapa peranan hasil wujudnya Falsafah Pendidikan Negara.

·         Sebagai suluh yang memberi panduan asas untuk menentukan Matlamat Pendidikan Negara.
Falsafah Pendidikan dibina melalui 3 aspek iaitu menerusi laporan, dasar pemerintahan sesebuah negara, dan juga  ideologi yang dianuti oleh sesebuah negara. Dengan melakukan perincian terhadap ketiga aspek ini lantas wujudlah Falsafah Pendidikan Negara yang dapat dijadikan pedoman buat para pendidik sekaligus memudahkan cita negara dalam usaha untuk mencapai Matlamat Pendidikan Negara. 

·         Menjadi dasar dan pertimbangan asas untuk menentukan Matlamat Pendidikan Negara.
Selain dapat dijadikan pedoman buat para pendidik, Falsafah Pendidikan Negara juga dijadikan sebagai penanda bagi menentukan matlamat yang ingin dicapai. Antara matlamat yang ingin dicapai adalah untuk memperolehi warganegara yang bersepadu kendirinya yang dilengkapi oleh aspek jasmani, emosi, rohani, dan intelektual yang diharapkan agar dapat menjadi masyarakat yang berguna.

·         Sebagai bimbingan untuk para pendidik semasa melaksanakan tugas pendidikan.
Dengan adanya Falsafah Pendidikan Negara para pendidik dapat mengetahui matlamat pendidikannya yang perlu dicapai. Falsafah Pendidikan Negara akan membimbing para pendidik bukan sahaja bagi mempermudahkan lagi tugas pendidikan malah dapat dijadikan satu batasan agar didikan yang disampaikan tidak tergelincir daripada apa yang ingin dicapai.

·         Menghilangkan salah faham, keraguan atau pertelingkahan dalam sebarang usaha melaksanakan tugas ataupun aktiviti pendidikan.
Falsafah Pendidikan Negara boleh dianggap sebagai sebuah manual atau rukun yang perlu dipegang oleh para pendidik di Malaysia dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Dengan adanya Falsafah Pendidikan Negara, ia akan sentiasa dirujuk oleh para pendidik sekiranya terdapat sebarang salah faham atau keraguan dalam melaksanakan tugas dan aktiviti pendidikan.

2.3 Matlamat Falsafah Pendidikan Negara

Matlamat Pendidikan Negara bertujuan bagi melahirkan insan yang baik dan sempurna supaya menjadi warganegara Malaysia yang baik. Dengan perkataan lain, Matlamat Pendidikan Negara bertujuan melahirkan rakyat Malaysia yang sempurna daripada segi jasmani, rohani, emosi dan intelektualnya melalui pendidikan secara bersepadu.

Keempat ciri ini penting kepada pembangunan negara dalam usaha melahirkan rakyat yang bertanggungjawab, progresif, mahir serta cekap selain dapat menghasilkan rakyat yang taat dan cinta kepada negara. Selain daripada itu juga matlamat yang ingin dicapai melalui Falsafah Pendidikan Negara ini adalah untuk mewujudkan masyarakat yang dapat mengamalkan prinsip-prinsip rukun negara dalam usaha mewujudkan toleransi serta perpaduan dikalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia.

Berlandaskan daripada Falsafah Pendidikan Negara, berikut adalah beberapa huraian yang diambil bagi menjelaskan falsafah yang digariskan dalam usaha menuju pencapaian Matlamat Falsafah Pendidikan Negara.

·         Memperkembangkan potensi individu.
Melalui proses pendidikan yang bersepadu hasil daripada perancangan yang diterapkan didalam Falsafah Pendidikan Negara, maka potensi di setiap diri para pelajar akan diperkembangkan semaksima mungkin bagi menghasilkan para pelajar yang sempurna sifatnya iaitu yang berilmu pengetahuan dan juga berakhlak mulia.

·         Mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis.
Seperti yang sudah dinyatakan, Falsafah Pendidikan Negara bukan sahaja menitikberatkan kepada perkembangan intelektual semata, sebaliknya ia juga merangkumi aspek jasmani, rohani dan emosi dalam usaha mewujudkan insan yang lengkap dan seimbang dengan harapan agar dapat menjadi warganegara yang baik kelak.

·         Rakyat Malaysia yang berketrampilan.
Dengan penerapan ilmu pengetahuan sejak awal secara bersepadu yang merangkumi aspek intelektual, jasmani, rohani dan juga emosi, akhir sekali ia diharapkan agar dapat mewujudkan sebuah masyarakat yang sentiasa bersatupadu menggembleng tenaga dalam memberi sumbangan kepada kemajuan negara.

·         Keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.
Ini boleh dikatakan matlamat akhir yang mahu dicapai oleh Falsafah Pendidikan Negara iaitu dalam usaha mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni dan makmur
didalam sebuah negara yang maju, tenteram serta moden. Dengan keharmonian dan kemakmuran hasil pendidikan secara bersepadu, negara akan sentiasa terus pesat membangun bersama masyarakatnya yang berakhlak mulia dan berkualiti.

3.0  Pendidikan Awal Kanak-Kanak

Kanak-kanak hari ini adalah bakal pemimpin dan juga ahli masyarakat pada masa hadapan. Pendidikan awal kanak-kanak adalah penting kerana ia memainkan peranan utama dalam usaha memperkembangkan lagi potensi kanak-kanak bersesuaian dengan Falsafah Pendidikan Negara yang bermatlamatkan menuju sebuah negara yang seimbang dan harmoni.

Menurut Jean-Jacques Rosseau, pendidikan ialah suatu proses yang berterusan dan bermula sejak seseorang individu itu masih kecil. Selain itu, pendidikan juga merupakan suatu hak asasi yang perlu diperolehi bagi setiap manusia. Pendidikan di Malaysia, berdasarkan kepada Falsafah Pendidikan Negara, memberikan pendidikan yang menyeluruh merangkumi aspek jasmani, emosi, rohani dan intelektual. Pendidikan seperti ini iaitu yang bersepadu, menurut Muhammad Qutb pula akan cenderung mewujudkan keseimbangan dan keharmonian didalam diri setiap manusia.

Oleh yang demikian, pelbagai program telah diwujudkan hasil kepekaan negara serta masyarakat terhadap keperluan pendidikan yang perlu diberikan kepada kanak-kanak sejak usia awal lagi. Program ini dirancang dan dilaksanakan agar membolehkan kanak-kanak mendapat pendidikan asas yang sesuai untuk pembentukan peribadi dan perwatakan yang sempurna supaya di usia dewasa kelak dapat menjadi warganegara Malaysia yang baik.

Antara ciri-ciri yang ingin dicapai hasil daripada program pendidikan awal kanak-kanak ini adalah seperti menghasilkan kanak-kanak yang cerdik dan pandai, yang mempunyai akhlak dan budi pekerti yang tinggi dan baik, dan juga kanak-kanak yang sihat dan cergas baik dari segi jasmani mahupun rohani. Ciri-ciri ini yang sudah diterapkan di Malaysia hasil daripada penggubalan sistem yang akhirnya diharapkan dapat menghasilkan masyarakat yang seimbang dan harmoni bagi menjamin ketenteraman negara.

4.0  Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Malaysia Dan Beberapa Kritik Keatasnya.

Mengikut sejarah, pendidikan prasekolah secara berinstitusi bermula di Malaysia pada tahun 1950an. Sebelum itu, permintaan bagi mewujudkan institusi pendidikan prasekolah diwujudkan bersamaan dengan pembukaan ladang-ladang getah dan kawasan perlombongan semasa pemerintahan kolonial British. Sesetengah pendapat telah mengatakan bahawa pembukaan institusi pendidikan awal kanak-kanak pada waktu itu adalah untuk menyediakan  kanak-kanak itu dengan pengetahuan asas seperti membaca, mengira, dan menulis supaya dapat bekerja dikawasan ladang dan perlombongan dibawah pemerintahan British. (Wan Mohd Nor Wan Daud, 1997).

Satu perubahan berlaku pada tahun 1969 apabila Yayasan Asia telah menyumbangkan peruntukan kewangan kepada pertubuhan pekerja Malaysia bagi membiayai penubuhan model institusi prasekolah yang mirip kepada projek "Headstart" di Amerika. Kampung Muniandy, Kampung Manggis dan Kampung Sentosa di Selangor dipilih dan sasarannya pada kanak-kanak dari golongan yang kurang berada daripada keturunan Melayu, Cina dan India. Kajian yang dijalankan di Amerika menunjukkan bahawa kanak-kanak yang menghadiri projek  Headstart telah mencapai tahap pelajaran dan sikap yang lebih baik untuk jangka masa yang panjang dibandingkan dengan pelajar yang tidak menghadirinya. Hasil daripada kajian dilaporkan terdapat korelasi positif diantara kehadiran di tadika dengan pencapaian prestasi kanak-kanak apabila masuk ke tahap sekolah rendah.

Melalui Akta Pendidikan 1996, program pendidikan prasekolah telah dimartabatkan sebagai satu Sistem Pendidikan Kebangsaan. Dengan pemartabatan ini juga ia menunjukkan bahawa program pendidikan prasekolah merupakan satu usaha nasional yang perlu difikirkan oleh semua pihak secara bersama. Biarpun kepentingan terhadap pendidikan prasekolah atau pendidikan awal kanak-kanak telah diketahui penting secara umumnya. Namun begitu, masih terdapat banyak lagi halangan yang harus ditempuhi untuk menuju ke tahap kesempurnaannya. Masih wujud lagi segelintir ibubapa, guru, mahupun agensi kerajaan yang belum mampu untuk memahami secara tuntas kepentingan pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti harus diberikan kepada mereka. Contoh yang terdekat adalah permasalahan yang timbul akibat kurangnya persefahaman antara guru di sekolah elementari dan guru di prasekolah.

Memang tidak dinafikan bahawa guru besar dan penolong kanan tidaklah diharapkan untuk memberi perhatian atau sokongan yang lebih kepada kelas-kelas prasekolah berbanding kelas  di gred yang lain. Namun apa yang diperlukan dan diharapkan kepada guru besar dan juga penolong kanan di sekolah sepatutnya mereka harus mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai program prasekolah sama seperti pengetahuan yang mereka ada tentang kelas elementari.

Akibat kurangnya pengetahuan dan juga perhatian yang diberikan, pendidikan yang diberikan di prasekolah amat jarang mendapat kesinambungan yang memberangsangkan apabila kanak-kanak memasuki ke persekolahan di tahun satu. Hal ini ternyata merupakan satu kerugian besar buat pendidikan di negara kita.

Apabila di alam persekolahan telah timbulnya tidak kesefahaman antara para guru elementari dan juga prasekolah, efeknya nya juga turut dirasa oleh para ibubapa. Telah terdapat ibubapa di negara kita yang berpendapat bahawa pendidikan awal kanak-kanak yang diberikan melalui institusi seperti tadika adalah membazir semata-mata. Pendapat ibubapa seperti ini bukanlah salah dan juga bukanlah benar kesemuanya. Memang tidak dapat dinafikan bahawa adalah suatu fakta dapat ditunjukkan biarpun terdapat ibubapa tidak menghantar anak-anak ke sekolah tadika namun ia tidak merencatkan perkembangan anak-anak mereka ke tahap yang baik sebanding dengan para ibubapa yang menghantar anak-anak ke sekolah tadika.

Namun begitu, kita juga tak dapat menafikan bahawa dengan menghantar anak-anak ke tadika, perkembangan kanak-kanak dapat dilakukan dengan sistematik berlandaskan sistem pendidikan yang teratur yang digunakan didalam silibus pendidikan di sekolah. Hal ini hakikatnya bergantung kepada kualiti pendidikan yang diberikan oleh guru mahupun ibubapa yang memilih samaada untuk menyekolahkan anak mereka di sekolah ataupun dengan memilih pendekatan “homeschooling” iaitu di rumah.

Begitu juga terhadap sesetengah agensi kerajaan yang lebih memikirkan untuk memberikan pendidikan demi melegitimasikan lagi idealogi negara berbanding untuk menyerapkan kanak-kanak dengan pengetahuan murni supaya dapat menjadi manusia yang bermandiri di dewasa kelak. Pendidikan yang sepatutnya diberikan untuk memproduksikan struktur sosial yang baru telah dinafikan sebaliknya hanya difokuskan untuk mere-produksikan struktur sosial yang ada. Menurut Ivan Illich didalam karyanya yang terkenal iaitu Deschooling Society menyatakan bahawa “Anak yang bersekolah tidak semestinya anak yang berpendidikan”. Sekolah pada hari ini hanyalah perpanjangan daripada sistem negara atau idealogi negara yang dipaksakan. (Shaharom TM Sulaiman, 2004).

Anak-anak diajar atau dididik demi memenuhi acuan idealogi yang ditetapkan. Untuk anak-anak yang berjaya akan ditempatkan di sektor pekerjaan yang mendapat ganjaran yang sedikit menguntungkan, manakala buat anak-anak yang “gagal”, akan menerima nasib yang buruk iaitu dilahirkan untuk bekerja keras mengikut sistem yang diterima secara umum oleh masyarakat. Kedua-duanya pada hakikatnya adalah sama iaitu dilahirkan sebagai “buruh” demi menguntungkan perut kaum kapitalis iaitu kaum elit di atas. Perkara ini bertentangan dengan pendapat bahawa pendidikan adalah dilakukan seumur hidup yang disarankan oleh Jean Jacques Rosseau.            

Namun begitu, Pendidikan Awal Kanak-Kanak atau prasekolah tentu saja memberikan peranan yang besar dalam menentukan segala pencapaian dan kemajuan yang dikecapi oleh negara pada zaman kini. Pendidikan masih lagi dipercayai sebagai agen pengubah taraf sosial yang paling berkesan dan telah dibuktikan berjaya hampir di seluruh dunia. Telah terdapat pelbagai model pendekatan pendidikan awal kanak-kanak diwujudkan diatas kepercayaan itu antaranya seperti Head Start, Bank Street dan juga Reggio Emilia.

4.1  Program Head Start

Program model pembelajaran Head Start mula diperkenalkan pada tahun 1964 dibawah Head Start Bureau dan disokong oleh Admin for Children and families. Program ini bertujuan untuk membantu kanak-kanak yang terdiri daripada golongan kurang bernasib baik seperti golongan miskin dan yang berpendapatan rendah. Dengan bermatlamatkan demi membantu membasmi kemiskinan melalui memberi pendidikan, program Head Start memberi pendidikan kepada kanak-kanak di peringkat bayi dan pra-sekolah di antara umur 4-5 tahun.

Di dalam program Head Start, teori pembelajaran yang digunakan adalah teori perkembangan atau juga dikenali sebagai teori behaviouris. Ini dapat dibuktikan apabila kanak-kanak yang mengikuti program ini telah menunjukkan prestasi yang cemerlang didalam akademik apabila telah melangkah ke dalam alam persekolahan darjah satu. Antara komponen penting di dalam program Head Start adalah pendidikan, kesihatan, penglibatan ibubapa, dan perkhidmatan sosial.

4.2  Program Bank Street

Program Bank Street diperkembangkan oleh Sprague Mitchell, Carroline Pratt dan Harrier Johnson. Ketiga tokoh atau pendiri program ini telah mewujudkan Play School sebagai sekolah pengasuhan pertama di Amerika Syarikat. Dengan menjadikan kanak-kanak sebagai pembelajar, pencuba, dan penjelajah yang aktif dalam model pendekatannya, kanak-kanak didalam program Bank Street ini akan memperolehi lebih banyak pelajaran melalui interaksi kanak-kanak itu sendiri bersama lingkungannya. Menurut program Bank Street, perkembangan kanak-kanak tidak terjadi secara terpisah tetapi adalah saling berhubungan.

Didalam program Bank Street, seluruh aspek perkembangan kanak-kanak akan difokuskan secara bersepadu. Antaranya selain pendidikan yang diberikan didalam ruang bilik darjah, program Bank Street juga akan melibatkan kanak-kanak secara terus dengan masyarakat sekeliling. Pendidikan seperti ini secara tidak langsung akan melatih sikap empati kanak-kanak tersebut terhadap masyarakat sekelilingnya berbanding pendidikan gaya lama yang hanya memfokuskan kepada hal akademik sahaja. 

Selain itu juga, kurikulum didalam Bank Street telah direka melalui idea bahawa kanak-kanak akan dapat belajar tentang alam sekitar dan dunia melalui apa yang mereka temui akan memperkembangkan lagi daya kreativiti kanak-kanak. Oleh yang demikian, matapelajaran seperti antropologi, sejarah, ilmu politik, ekonomi dan ilmu bumi akan cuba diintegrasikan didalam aktiviti kelas dan diharapkan bakal membuatkan kanak-kanak menjadi lebih kritis dalam menemukan makna akan dunia disekelilingnya. Didalam program Bank Street, peranan guru adalah penting supaya dapat menciptakan lingkungan pembelajaran yang aktif seperti itu. Guru memainkan peranan yang penting untuk membangunkan suasana saling mempercayai antara guru dan murid, dan juga memupuk sikap saling berkasih sayang sesama murid.

Program Bank Street adalah amat sesuai dijadikan model pembelajaran bagi perkembangan awal kanak-kanak. Ini kerana dengan penekanan pembelajaran melalui permainan yang penuh bermakna, konsep model Bank Street ini juga berperanan aktif dalam memberikan kanak-kanak membina pemahaman yang positif tentang dunia melalui interaksi secara terus dengan alam dan objek disekelilingnya.

4.3  Program Reggio Emilia

Dengan berslogankan “Niente Senza Gioia” yang bererti “Tiada hari tanpa kegembiraan”, pendekatan model Reggio Emilia menawarkan kegembiraan kepada kanak-kanak dalam setiap proses pembelajarannya. Sejarah dan pendekatan program Reggio Emilia adalah unik. Dicipta oleh Loris Malaguzzi dan beberapa rakannya di daerah sekitar Reggio Emilia di bahagian utara Itali. Mereka berfikir bahawa pada awal tahun perkembangan kanak-kanaklah sepatutnya diusahakan satu pendekatan untuk membentuk diri kanak-kanak sebagai seorang individu.

Berangkat daripada sini lalu diciptakan sebuah program yang berprinsip rasa hormat, tanggungjawab dan kebersamaan diantara kanak-kanak dan orang dewasa yang sentiasa suportif dalam usaha memperkayakan lagi minat kanak-kanak terhadap penemuan dirinya agar mampu menjadi insan yang berguna. Oleh kerana itu, boleh dirumuskan di dalam pendekatan Reggio Emilia bahawa kanak-kanak akan menjadi lebih aktif serta lebih bijak sekiranya dapat belajar bersama dengan orang dewasa dalam membangun pemahaman yang lebih luas tentang dunia.

Tidak seperti disekolah lain yang banyak menghabiskan waktu didalam bilik darjah sambil menyelesaikan tugas akademik, pendekatan Reggio Emilia pula banyak menghabiskan waktu diluar seperti mengunjungi taman bunga sehinggalah ke tempat-tempat yang menarik agar kanak-kanak dapat mengetahui banyak perkara yang menarik di alam sekelilingnya. Oleh kerana itulah, boleh dikatakan kurikulum di Reggio Emilia adalah tidak tersusun sebaliknya minat kanak-kanak secara tiba-tiba juga boleh dijadikan sebagai kurikulum di Reggio Emilia.

Sebagai contoh, apabila kelas mengusulkan untuk melawat ke taman bunga. Maka guru akan mebawa kanak-kanak ini melawat ke taman bunga dan membiarkan kanak-kanak ini bermain sepuas-puasnya bersama penjaga masing-masing. Di situ para guru akan memainkan peranan penting dengan mulakan perancangan untuk berfikir serta mereka aktiviti pembelajaran seperti menyarankan kanak-kanak melakukan mural atau sebagainya setelah pulang daripada lawatan di taman bunga kelak.

Di Reggio Emilia, proses adalah sama pentingnya dengan hasil. Malah boleh dikatakan bahawa pendekatan Reggio Emilia ini lebih menekankan proses terlebih dahulu sebelum mendapatkan hasilnya. Proses yang dilakukan pula lebih kepada aktiviti yang menyeronokkan. Kanak-kanak melalui model ini akan diajar menjadi seniman, saintis, ahli sejarah dan lain-lain demi mencungkil bakat serta kebijaksanaan mereka. Mereka percaya bahawa ilmu pengetahuan boleh diajarkan tetapi apa yang lebih penting adalah kebijaksanaan, dan kebijaksanaan tidak dapat datang melalui pengajaran sebaliknya melalui pengalaman.  Maka, peranan guru di Reggio Emilia adalah sangat penting yang berperanan untuk mendengarkan, mengamati, dan juga memahami strategi yang digunakan oleh kanak-kanak dalam pembelajaran.

Guru di program Reggio Emilia ini juga perlu menjadi seseorang yang bijak mengajukan persoalan dan sekaligus mampu merefleksikan respon untuk mengetahui bahan dan idea yang digunakan untuk mengembangkan pemahaman kanak-kanak. Selain daripada itu, guru di Reggio Emilia juga secara rutin harus membuat catatan serta merakam segala aktiviti kanak-kanak dan seterusnya akan dibincangkan sesama pihak guru, ibubapa dan para pemikir untuk ditemukan lagi pelbagai pendekatan baru bagi memperkembangkan lagi potensi kanak-kanak.


5.0  Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak

Didalam Akta Kanak-Kanak 2001, secara umumnya kanak-kanak dapat didefinisikan sebagai individu yang berumur di bawah 18 tahun. Di dalam akta tersebut kanak-kanak turut diiktiraf tarafnya sama seperti orang dewasa agar dapat memperolehi hak serta status sebagai manusia di atas muka bumi ini. Oleh kerana keadaan mereka yang masih belum matang dan sukar untuk membuat keputusan dengan sendiri, maka  Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak telah diwujudkan atas dasar supaya orang dewasa dapat melindungi kanak-kanak daripada anasir jahat serta perkara yang tidak baik terhadap golongan kecil ini.

Konvensyen Mengenai Kanak-Kana mula diterima pakai pada Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu pada 20 November 1989 telah menuntut agar masyarakat terutama golongan dewasa menjadi peka terhadap keperluan kanak-kanak dengan mewujudkan persekitaran yang harmoni dan penyayang. Selain itu, konvensyen ini juga telah menggariskan beberapa hak kanak-kanak di seluruh dunia tanpa mengira jantina, agama, bangsa dan kefahaman serta perbezaan diantara mereka. Antara hak yang terkandung didalam konvensyen ini adalah seperti hak untuk kanak-kanak memiliki kehidupan yang harmoni, hak untuk memperolehi perkembangan, hak untuk perlindungan dan juga hak untuk mendapatkan penyertaan didalam masyarakat.

Berdasarkan kepercayaan bahawa generasi baru iaitu kanak-kanak dapat memberi harapan baru kepada umat manusia. Kanak-kanak diseluruh dunia akan dilindungi daripada bahaya, eksploitasi  dan diberikan peluang dalam segala hal yang mengaitkan mereka supaya dapat membesar dengan baik. Sekiranya matlamat kewujudan Konvensyen Mengenai Kanak-kanak ini dapat berjalan secara lancar, maka dengan keadaan seperti ini akan wujudlah suatu hari nanti suatu masyarakat yang adil yang diharap-harapkan oleh seluruh umat manusia di seluruh dunia pada masa hadapan.